nuffnang

Cara Mengira Waktu Subur Wanita Dengan Tepat


Tubuh wanita sangat unik kerana setiap wanita ada kitaran waktu datang haidnya sendiri. Artikel ini bertujuan untuk membantu para pembaca untuk memahami dengan mudah tentang cara mengira waktu subur dengan tepat memandangkan kitaran haid wanita ini adalah topik yang ‘taboo’ dan memerlukan pemahaman yang jelas.

Secara normal, kaum hawa akan datang bulan secara purata lebih kurang dalam tempoh 28 sehingga 30 hari setiap bulan. Namun, ada yang kadang-kadang 25 hari. Ada yang lambat sehingga hari yang ke 35. Ianya adalah sesuatu yang kompleks tetapi tak perlu risau, anda boleh membuat anggaran sebenarnya jika faham kitaran sendiri.

Kenapa Kita Perlu Tahu Cara Mengira Waktu Subur?
Kebiasaannya, ada 2 sebab utama untuk kita tahu cara kira waktu subur:
√ Untuk mengira dengan tepat tempoh bagi mudah untuk hamil.
√ Untuk perancangan keluarga bagi mengelakkan daripada mengandung.
Sangat penting sebenarnya. Ramai yang mengambil remeh tips menghitung tempoh subur ini kerana menganggap ianya tak perlu. Jika anda yang sangat kepingin untuk mendapatkan zuriat atau jika anda sedang membuat perancangan keluarga, Nah! Anda perlu tahu cara pengiraannya supaya objektif utama tercapai.

Hanya Anda Yang Paling Pakar Tentang Kitaran Haid Sendiri
Tiada manusia yang lebih memahami tentang tubuh anda selain dari diri anda sendiri. Anda perlu menjadi pakar untuk memahami sepenuhnya kitaran haid sendiri.

Kebiasaannya, fasa kitaran haid ini terbahagi kepada beberapa fasa yang utama.
1- Fasa Pertama: Hari Pertama Hingga Ke 4
Fasa ini dikenali sebagai menstruation atau keluar haid. Ketika inilah haid mengalir keluar. Anda perlu mencatat tarikh hari pertama datang bulan di kalendar iaitu tarikh fasa ini bermula dan bila tarikh tamat haid kering. Sekiranya anda merancang untuk hamil, disarankan untuk membuat catatan pada setiap bulan. Ini penting untuk menganggar kitaran period anda berapa hari setiap bulan dan adakah haid anda teratur.
2- Fasa Kedua: Hari Ke 5 Hingga Ke 13
Fasa ini juga dikenali sebagai ‘follicular phase‘. Pada ketika ini, hormon estrogen seorang wanita akan meningkat dan darah akan membentuk lapisan tebal di dinding rahim. Manakala, telur yang berada di sekitar ovari pula akan mencapai tempoh matang. Ini adalah tempoh persediaan untuk kehamilan.
3- Fasa Ke Tiga: Hari Ke 14
Pada masa ini proses ovulasi akan terjadi. Peningkatan hormon ‘Luteinizing’ akan merangsang telur untuk keluar dari ovari dan menanti untuk disenyawakan dengan sperma. Sekiranya sperma yang dinanti tak kunjung tiba, bermakna proses persenyawaan tak berlaku maka ia akan terus melalui tiub fallopio ke rahim seorang wanita.
4- Fasa Ke Empat: Hari Ke 15 Hingga 28
Fasa luteal ini adalah satu fasa di mana sejenis hormon yang dikenali sebagai hormon ‘progestrone’ akan dirembes keluar dari sarangnya iaitu corpus luteum. Rembesan hormon ini akan menyebabkan lapisan dinding uterus semakin menebal. Sekiranya tiada persenyawaan berlaku, maka lapisan dinding rahim yang tebal ini akan runtuh dan proses kitaran akan berulang kembali seperti di Fasa 1.

Bilakah Waktu Subur Wanita Itu?
Setelah kita benar-benar mengerti tentang kitaran haid seorang wanita, maka sebenarnya waktu subur wanita itu adalah pada hari ovulasi itu terjadi atau semasa fasa ke3 bermula kerana telur telah dirangsang keluar dari sarangnya. Jika mahu dihitung dengan tepat, tempohnya adalah lebih kurang 14 hari daripada hari pertama kita didatangi haid pada kitaran seterusnya atau bulan berikutnya.
Misalnya, jika tempoh haid kita adalah 28 hari, justeru waktu subur adalah:
28 hari – 14 hari = 14 hari. Hari ke 14 adalah waktu paling subur.
Jika tempoh haid bulan tersebut adalah 30 hari:
30 hari – 14 hari = 16 hari. Hari ke 16 adalah waktu subur.
Jika tempoh haid bulan tersebut adalah 33 hari:
33 hari – 14 hari = 19 hari. Hari ke 19 adalah waktu subur wanita.
Biasanya, fasa ke 3 atau fasa luteal ini adalah tepat 14 hari selepas proses ovulasi berlaku. Justeru, hari subur ialah 14 hari sebelum hari pertama datang bulan pada kitaran seterusnya. Jika anda mempunyai kitaran haid yang teratur, sangat mudah untuk membuat kiraan. Biasanya, individu yang mengalami kitaran haid yang tak teratur ini yang sukar untuk membuat anggaran.
Kesimpulannya, jika anda ingin hamil. Pastikan anda ‘bersama’ dengan suami setiap malam atau siang pada hari ke 11, 12, 13,14, 15 atau 16. Ini sekiranya anda mempunyai kitaran haid 28 hari. Manakala sekiranya anda ingin membuat perancangan keluarga dan tak mahu hamil dalam waktu terdekat dengan cara semulajadi, anda boleh elakkan untuk bersama suami pada hari-hari yang disebutkan tadi.

#infokesihatan
#dyaammara
#agendiamond
#legasimamadee
#ammaranherbs
#naturalmedicines

Tiada ulasan: